ARKIB : 28/03/2009
PBB luluskan larangan kritik agama
GENEVA 27 Mac - Badan hak asasi tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan cadangan negara-negara Islam supaya diluluskan undang-undang di seluruh dunia bagi melindungi agama daripada dikritik dan difitnah.Resolusi tersebut yang dikemukakan oleh Pakistan bagi pihak negara-negara Islam, dengan sokongan Belarus dan Venezuela, mendapat kritikan keras daripada negara-negara demokrasi liberal dan golongan yang memperjuangkan kebebasan bersuara.
Majoriti mudah 23 daripada 47 negara anggota dalam Majlis Hak Asasi Manusia diperolehi untuk menyokong usul itu semalam.
Sebanyak 11 negara yang kebanyakannya dari Barat menentang resolusi berkenaan manakala 13 lagi berkecuali.
Resolusi itu menggesa semua negara mengadakan "perlindungan daripada tindakan-tindakan berunsur kebencian, diskriminasi, intimidasi dan paksaan yang berpunca daripada perbuatan memfitnah agama dan hasutan membenci agama."
Duta Pakistan, Zamir Akram menjelaskan, fitnah terhadap sesebuah agama membawa kepada hasutan yang mencetuskan kebencian, diskriminasi dan keganasan terhadap penganut agama berkenaan.
Negara-negara Islam berpendapat, semua agama terutamanya agama Islam perlu dilindungi daripada kritikan dalam media dan dalam arena lain kehidupan awam.
Mereka menyebut mengenai karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW sebagai contoh kebebasan bersuara yang melampaui batas dan tidak wajar.
"Islam sering kali dikaitkan dengan keganasan dan pencabulan hak asasi manusia sedangkan kaitan ini salah," menurut resolusi itu.
Penentang usul tersebut termasuk Kanada, semua negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, Ukraine dan Chile manakala Amerika Syarikat tidak mengundi kerana tidak menganggotai Majlis itu.
"Yang memiliki hak asasi ialah individu dan bukan agama," kata diplomat Kanada, Terry Cormier.
Majlis itu dikuasai oleh negara-negara Islam dan Afrika.
Resolusi tersebut tidak mempunyai kekuatan undang-undang tetapi bertujuan dijadikan syor bagi negara anggota PBB berhubung isu hak asasi manusia. - AP
No comments:
Post a Comment